Monday, May 14, 2012

Darah Merah Insan Misteri


Darah merah pejuang itu takkan gentar
menghadapi kaya sinar kuning emas menyinar mengilau mengimbau
memori duka sebuah cerita kasihku pada sebuah negara...
Melayu ku, mengapa demikian rupa

apakah kerna terlalu selesa,
atau hasutan makhluk durjana membuta mata,
memekak telinga, menghimpit minda kian songsang,
dicaci, dimaki, dihina dibuang sang pejuang...
apa yang tinggal, sebuah nama tidak didendang

biar hancur lumat tubuh diserang
akan aku HANCUR sang petualang
....dan kau, mungkin tidak akan mengerti,
tanah ini, sebuah tanah yang gersang,
yang kontang, yang hilang, dahulunya, kini kian kaya,
dan juga kian alpa

 terik sang mentari menyinar lagi,
bezanya cuma kita tidak lagi mengerti,
erti peluh di kebun getah, erti basah di tanah sawah,
erti darah di medan tempur, erti berjuang dan pantang undur,
atas nama kesenangan,
hanya yang dikenal, cuma dingin pendingin hawa,
menutup jiwa kian alpa

 ‎446 angka terkira, sebelum itu entah berapa lama,
puncanya tetap sama, kehancuran sesama kita..
mengapa tidak kita syukuri, 66 terhitung lagi, 55 masih dinikmati
dan semuanya masih di sini,
atau
kita mahu kembali, sebidang tanah kehilangan lagi,
baru kita mahu mengerti, baru kita mahu syukuri,
sebuah tinta perjuangan insan misteri...

Keris Pujangga

No comments:

Post a Comment